May 29, 2011

Aku dan Maruahku

Sebagai pelajar perubatan, aku sedar bahawa menjaga pergaulan dan batas batasan di antara hawa dan adam adalah sukar. Lebih lebih lagi jika ianya melibatkan pelajaran atau secara spesifiknya latihan diantara pesakit simulasi dan juga doktor simulasi. Sesetengah pendapat mengatakan, jika tujuannya adalah untuk belajar, maka sesetengah hal yang haram adalah diharuskan tapi bagiku, sesetengah hal hal itu masih boleh dielakkan jika kita berusaha untuk melakukannya.

Dan aku yang lemah dan malas untuk berusaha lebih selesa mengikut trend yang ada iaitu, "persentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan adalah dibolehkan kerana kita adalah pelajar dan tujuan kita adalah untuk belajar". Sehinggalah aku menjadi diri aku yang sekarang. Seperti sudah immune dengan persekitaran itu dan ternyata, hal ini menyukarkan aku untuk menjaga pergaulanku dan juga maruahku. 

Jika dulu aku adalah seorang wanita yang begitu segan dekelilingi lelaki namun sekarang, aku menjadi wanita yang betah bercakap dan bergerak bebas disekeliling lelaki. Kadang kadang aku tertanya tanya apakah benar jalan yang ku ambil kerana imanku yang senipis kulit bawang ini sangat rapuh dan aku bukan wanita hebat yang boleh menangkis segala fitnah dunia.

Bukanlah aku mengecam pergaulan diantara lelaki dan wanita atau melarang perhubungan di antara dua kaum ini sepenuhnya tetapi Islam yang indah ini sudah menetapkan syarat, panduan dan landasan yang betul untuk umatnya. Dan seharusnya kita umat Islam mengikut landasan dan ajaran itu.

Jauh disudut hati aku pasti segala yang aku lalui ini adalah persiapan untuk aku menjadi lebih mantap dimasa hadapan. Cemuhan atau tohmahan yang kadang kala terdengar di cuping telingaku taktala aku cuba mengelakkan diriku daripada melakukan perkara perkara yang sepatutnya dielak membuatkan aku menjadi lebih kental mempertahankan maruahku sebagai seorang wanita. Ya. Aku setuju bahawa segala yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk pelajaran tapi selebihnya bagaimana? Yang mampu dielak dan diganti itu juga bagaimana halnya kawan kawan? Aku sedih melihat mereka begitu, tetapi aku juga sedih kerana diriku sudah berubah menjadi begini. Dan sekarang satu yang ku tahu, aku perlu terus kuat untuk mempertahankan maruah wanitaku.

May 28, 2011

Dia Yang Ku Cari

Kerana Aku Seorang Wanita

Ya. Kerana aku adalah seorang wanita maka aku sering kali mengimpikan kehadiran seorang lelaki di dalam hidup ini. Kehadiran seorang lelaki yang mampu menyayangi aku sepenuhnya dan menerima aku apa adanya. Seorang lelaki yang mampu membimbing, mampu membentuk dan mampu melengkapi diri aku supaya aku  menjadi seorang wanita yang tinggi martabatnya disisi Allah subhanahuwa Taala. 

Tdak perlulah terlalu tampan wajahnya sehingga boleh menimbulkan fitnah dihati wanita wanita lain dan tidak juga perlu terlalu mewah kehidupannya agar aku tidak kekok untuk berdiri disisinya. Perlunya agama yang mantap supaya aku dapat dipimpinnya, perlunya sifat tanggungjawab yang utuh agar aku merasa selamat ketika aku berada bersamanya dan perlunya akhlak yang baik supaya aku senang hidup bersamanya. Aku perlukan seorang lelaki yang bersederhana, seorang lelaki yang berhikmah dalam berkata kata, seorang lelaki yang mampu menjadi imam di setiap solatku dan seorang lelaki yang mampu mendidikku menjadi isteri solehah yang disegani api neraka. 

Aku perlukan dia sebagai suamiku, aku perlukan dia sebagai teman baikku, aku perlukan dia sebagai pendengar setiaku, aku perlukan dia sebagai penawar kedukaanku, aku perlukan dia sebagai tempatku berlindung, aku perlukan dia sebagai penasihat sejati dan aku perlukan dia untuk sentiasa bersamaku menempuhi hidup ini supaya aku senang menuju JannahNya kerana aku tahu setiap kali aku memandang wajahnya, Allah akan menganugerahkan aku pahala berlipat ganda.

Doaku kepadaMu ya Allah, semoga engkau pertemukan aku dengan lelaki sehebat ini supaya hari hari ku akan sentiasa dihiasi bunga bunga cinta kepada illahi.


Entry Pertama

Alhamdulillah. This is the first entry for Kerana Aku Seorang Wanita. InsyaAllah, di dalam blog ini akan saya ceritakan serba sedikit tentang kehidupan saya sebagai seorang wanita Islam, seorang anak perempuan, seorang kakak kepada adik adiknya, dan juga seorang pelajar yang sedang bertungkus lumus menghabiskan pengajian di dunia yang agak asing tapi sebati dalam diri ini. Semoga segala yang dicoretkan mampu memberi sedikit manfaat kepada semua wanita di luar sana. InsyaAllah.